Monday, July 27, 2009

Motivasi : Di sebalik kesedihan dan kecewa

Hidup ini pastinya diuji. Sama ada besar atau kecil ujiannya, kekurangan harta benda atau kehilangan orang yang tersayang, itu semua tertulis sebagai ujian. Sebagaimana firman Allah ini:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar [Al-Baqarah:155]

Namun sebagai makhluk bergelar insan, bukan setiap masa kita mempunyai untuk terus menerus menggenggam kekuatan untuk menghadapi ujian-ujian daripada Allah. Kerana bukan mudah membina kesabaran dan redha dia atas ujian. Terutama apabila kita diuji dengan rasa sedih dan kecewa.

Bukan mudah mematahkan rasa sedih. Bukan senang memujuk hati untuk menerima segala ketentuan. Sekalipun mulut mampu mengungkapkan kata sabar, ketahuilah bahawa hati sebenarnya memerlukan begitu banyak kekuatan untuk membina kesabaran di hati. Dan perkara yang selalu menjadi pertanyaan kita pada masa itu, mengapa semua ini terjadi kepada kita? Kenapa begitu sukar menghadapi kehidupan ini?

Namun ketahuilah di sebalik rasa sedih ini, sebenarnya Allah bakal memberikan kegembiraan kepada kita, dan di sebalik kekecewaan itu Allah bakal memberikan harapan yang lebih baik kepada kita. Kerana kesedihan dan kekecewaan bukan bermaksud kasih sayang Allah telah padam untuk kehidupan kita. Bahkan terus bersama kita. Cuma bagaimana kita cuba untuk menerima ketentuan dan memahami hakikat kehidupan ini.
Jangan lupa untuk membina keyakinan diri dengan terus berdoa kepadaNya. Minta diberikan segala kekuatan dan kemudahan dalam menghadapi hidup. Pengalaman pahit sebenarnya mengajar kita bahawa hidup ini tidak selalunya indah. Sebagaimana indahnya pandangan mata menilai sesuatu.

TERIMA KASIH DI ATAS KUNJUNGAN ANDA...SUDI-SUDILAH KOMEN DI BAWAH YE...

No comments:

Post a Comment