Tuesday, October 27, 2009

Mencari bahagia... apa makna jika hati tak bahagia

Hati selalu gundah gulana, tidak menentu malah tidak tenteram. Apabila hati merasa tidak bahagia, itu maknanya hati sakit. Ia berbeza dengan sakit hati walaupun dua-dua adalah penyakit hati.

Masalah hati tidak bahagia selalu dikaitkan apabila berhadapan dengan ujian. Waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan. Setiap hari, ada-ada saja perkara yang mencabar kesabaran dan menekan jiwa kita. Anak meragam, suami buat acuh tak acuh, isteri merajuk atau meragam, rakan sepejabat mengumpat di belakang, perniagaan tidak menguntungkan, saham jatuh nilai dan lain-lain lagi.

Begitulah nasib kita manusia. Sejauh mana pun kita cuba untuk mengelakkan perkara-perkara yang mengganggu keselesaan kita, ia tetap akan berlaku juga. Sebagai makhluk yang diciptakan, sedikit pun kita tidak ada kuasa untuk menolak ketentuan Tuhan. Kalau Tuhan mahu kita sakit, walau bagaimana sekali pun kita cuba menjauhi penyakit, kita tetap akan jatuh sakit. Kalau Tuhan tidak mahu kita jadi kaya, walau bagaimana sekali pun kita mengusahakan kekayaan, ia tidak akan dimiliki juga. Sememangnya usaha manusia itu tidak dapat menentukan apa-apa Lantas, persediaan apa yang perlu kita buat untuk membuatkan hati bahagia dan tidak tertekan ketika menghadapi pelbagai bentuk nasib malang yang pasti menimpa kita?

Kita harus mengenali diri sebagai penerima nasib malang itu dan juga mengenali Tuhan sebagai pemberinya. Kita harus kenal bahawa diri kita adalah hamba ciptaan yang sangat lemah dan tidak ada apa-apa. Malah dalam penciptaan diri kita sendiri, kita tidak ada campur tangan, tidak ada tanam saham, langsung tidak ada memberi modal sama sekali. Keputusan untuk mencipta diri kita sendiri pun semuanya dibuat oleh Tuhan. Selain daripada seluruh badan kita yang begitu unik dan kompleks itu Tuhan juga yang memberi kita daya usaha, fikiran dan perasaan. Lantaran itu, apabila Tuhan timpakan sesuatu kesusahan ke atas diri kita, inilah peluang untuk kita sedar bahawa diri kita adalah hamba yang lemah dan tidak punya apa-apa kuasa.

Mungkin selama ini kita rasa berkuasa, rasa mampu dan rasa boleh, sehingga kita terlupa untuk bergantung dan berharap kepada Tuhan. Selain itu kita mesti ingat bahawa setiap takdir Tuhan ke atas kita, selain kekufuran, semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Kalau Tuhan sekali-sekala sakitkan kita, sudah tentu ada maksud yang baik daripada Tuhan. Antara maksud-maksud baik Tuhan ialah Dia hendak hapuskan dosa kita, Dia mahu kita insaf di atas kelemahan diri kita, Dia mahu kita ingat-ingatkan kesalahan kita dan membaikinya serta bertaubat, Dia mahu kita rasai penderitaan orang lain agar kita menjadi orang yang lebih prihatin dan simpati.

Dia juga mahu kita lebih bergantung dan berharap kepada-Nya. Kalau Tuhan sekali-sekala miskinkan pula, tentu ada maksud pendidikan atau pengajaran. Mungkin Dia mahu kita mendapat pahala sabar kerana miskin. Dia mahu kita rasai penderitaan orang miskin. Dan tentunya Dia mahu kita meneliti balik segala tindak-tanduk kita, apakah kita sudah melakukan apa-apa kesalahan dan kesilapan yang menyebabkan Tuhan tidak membantu kita. Begitu juga apabila kita sekali-sekala dihinakan. Mungkin Tuhan mahu kita bertaubat kerana kita pernah menghina atau menzalimi orang lain ataupun Dia mahu kita ungkai rasa sombong yang bersarang di dalam hati kita. Atau Tuhan sengaja memberi kesusahan itu kerana Dia mahu mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

TERIMA KASIH DI ATAS KUNJUNGAN ANDA...SUDI-SUDILAH KOMEN DI BAWAH YE...

No comments:

Post a Comment